Kenyataan Akhbar KPK 11 April 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 165 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,995 kes (44.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 11 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 184 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,530 kes.
Sehingga kini, seramai 72 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 38 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,462 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Mengikut trajektori unjuran KKM, pada 14 April 2020 iaitu apabila tamatnya fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), unjuran kes-kes positif dengan kebolehjangkitan adalah dijangka lebih kurang 2,033 kes. Ini tanda-tanda kejayaan PKP fasa pertama dan fasa kedua menurunkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam komuniti. Oleh itu, KKM menasihatkan orang ramai untuk terus membantu Kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-10 dengan kekal duduk di rumah, mengamalkan jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter dan kerap mencuci tangan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga (3) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 73 kes (1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):
  • Kes kematian ke-71 (kes ke-3091) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout. Beliau mempunyai kontak rapat kes positif COVID-19 dari kluster perhimpunan Seri Petaling (iaitu kes ke-452). Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 12.05 tengah hari.
  • Kes kematian ke-72 (kes ke-537) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 15 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 11.15 pagi.
  • Kes kematian ke-73 (kes ke-2399) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 jam 12.00 tengah hari. 

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.
STATUS TERKINI JANGKITAN COVID-19 DI KALANGAN KEGUNAAN ANGGOTA KESIHATAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 10 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, dilaporkan bahawa terdapat 224 anggota kesihatan KKM yang telah dikesan positif COVID-19. Berdasarkan siasatan setakat ini, TIADA kes yang berpunca daripada pengendalian kes yang disahkan positif dari wad COVID-19 atau unit rawatan rapi (ICU) khusus untuk pesakit COVID-19 di fasiliti KKM.

Daripada jumlah 224 anggota kesihatan tersebut:
  • 150 kes (67 peratus) adalah berpunca dari komuniti (termasuk daripada rakan sekerja yang disebabkan oleh jangkitan di komuniti);
  • 41 kes (18 peratus) mempunyai kaitan dengan pesakit, iaitu:
    • 29 kes daripada pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI),
    • sembilan (9) daripada pesakit yang tidak diketahui status sebelum rawatan diberikan, dan
    • tiga (3) kes daripada aktiviti saringan dan lain-lain aktiviti di lapangan;
  • 33 kes (15 peratus) masih dalam siasatan.
Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan anggota kesihatan terutamanya petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus lumus dalam menghadapi pandemik COVID-19 demi kepentingan Negara.
Justeru, pelbagai tindakan telah diambil bagi tujuan menjaga keselamatan dan kesihatan anggota termasuk:

  • penilaian keperluan dan stok alat pelindung diri di fasiliti bagi memastikan pembekalan PPE sentiasa mencukupi;
  • semua kes SARI dan jangkitan paru-paru (pneumonia) sebagai jangkitan COVID-19 sehingga terbukti sebaliknya;
  • memperkukuhkan triaging iaitu penilaian dan pengasingan pesakit yang disyaki mempunyai gejala COVID-19 apabila datang ke fasiliti kesihatan serta memberikan mereka alat penutup hidung dan mulut (facemask) untuk dipakai;
  • memastikan anggota yang merawat pesakit disahkan positif COVID-19 perlu menggunakan alat pelindung diri (PPE) seperti yang disarankan, dan anggota yang merawat pesakit tidak disyaki COVID-19 menggunakan alat penutup hidung dan mulut (facemask);
  • memastikan anggota mengamalkan semua langkah pencegahan seperti kebersihan tangan dan amalkan jarak sosial selamat (social distancing)sekurang-kurangnya 1 meter mengikut keperluan dan kesesuaian;

KKM ingin menasihatkan semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) termasuk pengamal perubatan swasta dan NGO, yang merawat pesakit perlu menggunakan penutup hidung dan mulut (facemask).
KKM amat menghargai pengorbanan dan dedikasi semua anggota kesihatan dan perubatan yang berkhidmat di setiap fasiliti kesihatan, tidak kira samada di barisan hadapan, perkhidmatan sokongan mahupun di balik tabir. KKM akan terus komited untuk memastikan status keselamatan dan kesihatan setiap anggota KKM dipelihara.
Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

11 April 2020 @ 5.00 petang

Comments